Social Icons

facebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Friday, October 25, 2013

Thumbs up!!!

Siapa yang takut nak kahwin...boleh lah baca pengalaman adik Abdul Basit danadik Nurul Liyana Akmal yang berkahwin pada usia 23 tahun. Thumbs up!!!







NAK BERKAHWIN, BUKAN PERSEDIAAN, TAPI KEYAKINAN YANG PALING UTAMA!

Alhamdulillah, saya menerima banyak respon dan pertanyaan tentang pengalaman saya berkahwin awal semasa umur 23 tahun. Jadi, dengan izin suami, saya menulis perkongsian ini untuk menjawab beberapa pertanyaan utama melalui pengalaman saya.

Saya dan suami masih belajar semasa kami berkahwin, dalam tahun kedua. Saya bersetuju untuk berkahwin dengan beliau kerana saya telah di ajarkan tentang ilmu keyakinan sebelum mula menerimanya menjadi imam saya. Yakin dengan jodoh dan rezeki Allah meskipun kita sebenarnya tak pasti pilihan kita itu tepat atau tidak.

Berbalik kepada tajuk besar atas ni, ya! Sebenarnya nak berkahwin bukan persediaan yang paling utama, tapi keyakinan!

Berapa ramai yang dah bersedia nak kahwin tapi masih belum mendirikan rumah tangga? Pernyataan ini menunjukkan bahawa persediaan itu merupakan usaha kedua setelah kita mempunyai keyakinan yang tinggi untuk mendirikan rumah tangga.

Ilmu ini merupakan asas dalam rumah tangga. Kerana soal yakin ini sangat berkait rapat dengan iman. Dengan hati. Soalannya mudah, takrifkan sahaja maksud IMAN. Disitu ada jawapannya mengapa soal yakin ini menjadi tunggak utama dalam setiap perkara.

Saya seperti kebiasaan semua wanita, tentulah sangat risau kerana tidak bersedia memegang gelaran ‘Puan’ dalam usia begitu. Pada usia itu, saya sibuk merancang haluan kerjaya, soal menjadi isteri jauh dari fikrah saya. Apa taknya, ilmu memasak pun belum lulus! Malah, rakan serumah saya lebih hebat dalam aspek menjaga rumah tangga. Pokoknya saya tidak bersedia untuk menjadi isterinya ketika itu!

Pada saat saya menerima lamarannya, saya belum dikunjungi rasa cinta. Pada masa itu, saya ada pilihan sendiri, tetapi ummi meredhai lamarannya. saya buntu dan banyak kali beristikharah, namun masih belum menemui jalannya. Setiap kali itu, saya akan menjadi resah memikirkan tentang lamaran insan yang saya tak punya perasaan. Setelah itu, saya menolak lamarannya atas alasan, TIDAK BERSEDIA!

Saya ditakdirkan bertemu abuya, iaitu ayah mertua pada ketika itu. Abuya merenung mata saya, seraya berkata, “Ma ridhallahu illa fi ridha-il-walidaini” (Redha Allah terletak pada redha ibu bapa). malah, abuya mengulangi 3X ayat ini! Saya jadi tak tenang dan tak dapat tidur lena memikirkan ayat ini.
Setelah itu saya menelefon ummi dan menangis semahu-mahunya. Maka, itulah jawapan dan petunjuk Allah untuk saya. Saya mahukan redha Allah, dan redha Allah itu terletak pada redha ummi dan abah. Saya sudah tidak peduli apa yang akan terjadi kerana saya yakin dengan petunjuk Allah itu terbaik untuk saya!

ini merupakan langkah pertama saya meyakini soal keyakinan. Iya, setelah itu saya bertatih dalam memahami ilmu keyakinan ini. Keyakinan itu diumpamakan, walau kita disembelih, tapi kita yakin kita masih hidup! Soal keyakinan itu bukan pada akal, tapi terletak pada hati!

Yakin dengan redha Allah, yakin dengan rezeki Allah. Yakin dengan ujian Allah. Yakin dengan bantuan Allah.

Saya yakin dengan pilihan ummi meskipun saya tak pasti dengan masa depan yang akan saya lalui. Saya juga tahu bakal suami saya pada masa itu bukanlah anak orang kaya, atau telah memegang title jutawan, atau sudah punya rumah mahupun kereta. Zaman sekarang, ibu bapa meletakkan syarat pula, kalau nak kahwin, kena ada kereta atau rumah dulu. Alhamdulillah., ibu bapa saya tidak mensyaratkan itu buat bakal menantunya.

Jadi, kami kahwin serba sederhana, tidak ada majlis bersanding dan bermewah-mewah. Dengan berbekalkan hanya keyakinan, maka persediaan itu menjadi lebih mudah meskipun tidak terfikir dek akal mampu atau tidak dilaksanakan. Alhamdulillah, kami diijab kabulkan pada 21 Mei 2011. Dan bermula lah detik kehidupan rumah tangga, dengan hanya berbekalkan keyakinan dengan rezeki Allah.

Saya membantu suami berniaga dari rumah. Saya ke kelas cuma berjalan kaki lebih kurang 1km dari rumah flat PKNS berdekatan kampus, kerana kami hanya mempunyai satu motosikal. Suami pula ke kelas dan bekerja menaiki motosikal ke KL dan berulang alik setiap hari. Setelah pulang dari kelas, suami terus keluar bekerja, mengambil dan menghantar baju-baju ke kilang dan pelanggan. Saya pula menyiapkan assignment saya dan suami, dan membuat persediaan untuk kelas tuisyen pula pada malam hari. Setelah itu kami bergegas ke pusat tuisyen untuk menjalankan amanah sebagai seorang guru.

Selesai sahaja mengajar, kami akan bersiap-siap pula untuk membuka gerai jualan di Uptown Kota Damansara bersama abang ipar sehingga larut malam. Begitulah lebih kurang rutin harian pada waktu itu.

Meskipun serba sederhana, namun kami terasa begitu mewah kerana di tarbiyah untuk memikirkan ada lagi manusia lebih derita dan tidak mampu menelan sebutir nasi pun! Makanan kami adakalanya dicatu untuk tujuan membeli mesin basuh, peti ais dan televisyen dan kelengkapan lain.

Setahun kami tidur hanya beralaskan toto yang dihadiahi semasa hari perkahwinan kami. Gambar yang saya sertakan ini adalah keadaan rumah kami semasa baru berkahwin. Tidak ada perabot ataupun kelengkapan lain. Yang ada, cumalah sebuah kotak printer yang dialaskan papan yang kami kutip di tempat pembuangan sampah. Peti ais cumalah polystyrene box yang berisi ais dibeli dikedai runcit.

Dari saat itu jugalah kehidupan yang serba sederhana itu mengajar kami lebih tentang erti keyakinan. Tidak ada apa-apa, boleh kahwin ke? Tak habis belajar lagi, nak bagi isteri makan apa? Alhamdulillah, saya belum dihidangkan pasir setakat ini. Rezeki itu daripada Allah, bukan daripada manusia. Jadi, kami tidak begitu peduli tohmahan masya’karat’ yang memandang remeh tentang keadaan kami yang serba kekurangan. Keyakinan itulah yang menambah semangat dan motivasi kami dalam menjemput rezeki Allah.

Setiap orang pasti ada rezeki! Jangan cakap, “tak ada rezeki lagi,..” rezeki itu ada, tapi dari sudut yang lain! Pandanglah! Lihatlah! Kesihatan dan keluarga kita juga rezeki! Kemudahan menuntut ilmu juga rezeki.! Masya Allah, begitu banyak rezeki Allah di muka bumi ini, kenapa kita masih merungut jika nak kahwin tak ada rezeki? Pasti ada caranya. Tentulah dengan ilmu. Dan yakin dengan Allah.

Alhamdulillah, rezeki kami dimudahkan Allah. Suami dapat mengerjakan haji bersama abuya dan dapat pula ke U.S. untuk melanjutkan pelajarannya di sana. Pada waktu itu, saya kerap ditinggalkan seorang diri untuk tujuan perniagaan dan urusan haji serta belajar. Namun itulah usaha saya untuk memahami soal keyakinan ini.

Dalam diam, saya bukan diajar secara teori, tapi Allah memberi ujian ini untuk mengajar keyakinan diri.

Keyakinan itu bernoktah, tidak ada tanda soal.

Sehingga sekarang, saya masih berusaha memahami ilmu keyakinan ini. Yakin ini bukan sahaja penting dalam urusan nak mendirikan rumah tangga., tapi dalam setiap perkara!

Yakinlah dengan Allah! Yakinlah dengan keyakinan ini!

Jadi ini pesanan saya buat bakal pengantin yang akan mendirikan rumah tangga, pergilah berguru dan menuntut ilmu tentang keyakinan ini. Dengan iringan doa dan kasih sayang, semoga Allah meredhai perkahwinan anda dan memudahkan setiap urusan kita di dunia dan akhirat.

Sekian sahaja, salam sayang.

untuk membaca kisah sambungannya,
Klik sini ------> https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10201546113272676&set=a.1140898440631.2022571.1172539017&type=1&theater

0 comments:

Post a Comment